fbpx
TERPUKAU, Azeva menyifatkan pengalaman bergandingan dengan Dharma sebagai inspirasi dan semangat besar buat dirinya yang masih hijau dalam dunia lakonan.

‘Beliau legenda, saya terpukul lihat perubahan karakternya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAYAR seni tempatan tidak pernah ketandusan cerita tentang pertembungan generasi. Setiap kali bintang baharu muncul, tetap ada susuk legenda hadir memberi warna dan roh, menjadikan industri seni bukan sekadar ruang berkarya, tetapi medan menimba ilmu daripada mereka yang sudah bergelumang lama dalam dunia lakonan.

Hadirnya seorang legenda tidaklah hanya untuk melengkapkan barisan pelakon, malah bagaikan nadi yang meniup semangat baharu kepada anak seni muda.

Pertemuan dua dunia antara pengalaman berpuluh tahun dan semangat segar generasi terkini mewujudkan sebuah harmoni dalam menjayakan sesebuah naskhah.

Begitulah keindahan yang terbina di set penggambaran telefilem Ayah arahan Zulhuzaimy, apabila seorang pelakon muda berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada bintang agung layar perak, Dharma Harun Al Rashid.

Pelakon baharu, Azeva Natassha meluahkan rasa kagum terhadap keperibadian dan profesionalisme pelakon filem Adik Manja Returns itu yang tetap bersemangat menjalani penggambaran meskipun dalam keadaan uzur.

Ujar anak kepada penerbit drama sensasi, Datuk A. Aida itu, Dharma sentiasa menunjukkan disiplin tinggi di set selain gemar mengajak rakan pelakon membaca skrip bersama-sama sebelum penggambaran bermula.

“Jujur saya katakan, saya memang kagum sungguh dengan Dharma. Setiap kali sebelum memulakan penggambaran, beliau akan ajak kami baca skrip bersama. Cara beliau memang sangat profesional, berbeza dengan pelakon baharu.

“Sebelum masuk ke set, saya sebenarnya berdebar kerana ini kali pertama bergandingan dengan pelakon legenda sepertinya.

“Namun, beliau seorang yang rileks, mesra dan suka berlawak,” katanya ketika ditemui di set penggambaran telefilem Ayah di Pusat Jagaan Harian Warga Tua, Cheras, baru-baru ini.

Meresap

Berkongsi pengalaman, gadis berusia 24 tahun itu menegaskan kehebatan Dharma lebih terserlah ketika kamera mula merakam.

“Saya boleh nampak perbezaan seorang legenda. Apabila beliau membawakan watak seorang ayah, karakter itu benar-benar meresap dalam dirinya.

“Sebaik kamera mula merakam, perubahan beliau sangat ketara. Memang saya rasa terpukul melihat bagaimana perubahan karakternya dilakukan dengan begitu cepat,” ujarnya.

Tambahnya, beraksi di sisi Dharma memberikan inspirasi besar buatnya untuk terus serius dalam seni lakon.

“Selama ini saya hanya menonton lakonan beliau di televisyen, tetapi apabila dapat berlakon bersamanya, barulah saya benar-benar faham aura dimilikinya.

“Saya juga ada bertanya pandangan mengenai lakonan saya dan alhamdulillah, beliau sering memberikan isyarat yang baik setiap kali ditanya,” tutupnya.

Selain Dharma dan Azeva, telefilem itu turut menampilkan barisan pelakon muda berbakat besar seperti Aniq Suhair, Aisya Hasnaa dan Ezzaty Abdullah.

Telefilem sarat emosi itu bakal menemui penonton pada 19 Oktober depan menerusi saluran Salam HD.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN