YAN – “Allahuakbar, depa tikam dia kat mana? Allahuakbar kita dok dengar cerita orang lain, ini kena kat anak kita pula”.
Itu rintihan bapa kepada mangsa lelaki berusia 30 tahun yang ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman di Taman Nona, Guar Chempedak, di sini kira-kira pukul 9.40 malam tadi.
Lelaki warga emas itu tiba berdekatan lokasi kejadian pada pukul 1.40 pagi tadi dan duduk di bahu jalan sambil melihat pihak polis melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Dia turut menceritakan kepada penduduk di situ bahawa anak lelakinya itu baru sahaja pulang ke rumah dan keluar semula, berkemungkinan untuk menghantar telefon bimbit dipesan pelanggannya.
“Anak saya balik sekejap dan ada tinggalkan telefon di rumah sebelum keluar. Tidak lama selepas dia keluar, polis pula sampai (beritahu kejadian).
“Arwah anak yang baik, tak pernah sakitkan hati. Saya dok harap kat dia sahaja. Saya ingat saya yang pergi dulu, tengok dia pergi dulu,” luahnya sambil memberitahu anaknya itu membuka kedai membaiki dan menjual telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar.
Bapa mangsa itu dilihat ditenangkan beberapa individu di situ termasuk ahli keluarga lain yang turut hadir.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki dan wanita ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman pada badan di Taman Nona, malam tadi. – KOSMO! ONLINE