PETALING JAYA – “Alhamdulillah! forgive and forget (memaafkan dan melupakan),” itulah luahan yang dikongsikan isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril di InstaStorynya malam tadi.
Hantaran tersebut sekali gus memberi bayangan bahawa pergolakan rumah tangga mereka kembali pulih selepas seminggu berdepan dengan konflik perceraian.
Nur Syazwani dilihat turut berkongsi semula gambar dia bersama Faisal serta anak mereka selepas foto keluarga itu dimuat naik dahulu oleh Bintang Selangor FC tersebut.
Pada masa sama, wanita itu meluahkan rasa syukur dan menggambarkan kehidupan mereka seperti pasangan pengantin baharu.
“May Allah protect our marriage till Jannah (semoga Allah pelihara perkahwinan kita hingga Jannah. Love you (cinta kamu) Faisal Halim, rasa macam baru kahwin semalam,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Nur Syazwani memfailkan perceraian terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.
Perkara itu turut disahkan peguam mewakili Nur Syazwani iaitu Roshdan Sujak Rafie yang memaklumkan mahkamah menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes perceraian pasangan terbabit. – KOSMO! ONLINE