PORT DICKSON – Seramai 50 warga China dan dua rakyat tempatan didenda masing-masing RM3,000 dan RM6,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menipu tawaran judi dalam talian di empat buah premis berasingan di daerah ini baru-baru ini.
Kesemua tertuduh berusia 21 hingga 52 tahun membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohd. Farez Rahman sebaik pertuduhan dibacakan berasingan.
Majistret turut menetapkan dua bulan penjara kepada 36 tertuduh jika gagal menjelaskan denda RM6,000.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka adalah pihak kepada suatu pakat jahat jenayah telah bersetuju untuk persediaan melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu tipu tawaran pelaburan yang menyasarkan warga China.
Perbuatan itu dilakukan oleh 36 tertuduh kira-kira pukul 3.30 petang di Taman Tanjung, di sini, pada 21 Ogos lalu.
Pihak pendakwaan juga meminta agar keesemua 36 tertuduh ini juga dirujuk kepada Jabatan Imigresen susulan dokumen perjalanan sudah dibatalkan oleh Kerajaan China.
Seramai 16 lagi tertuduh termasuk dua rakyat Malaysia didenda RM3,000 kerana melakukan perbuatan yang sama di tiga lokasi berlainan iaitu dua daripadanya di lokasi Taman Kampung Paya dan satu di Taman Dataran Segar pukul 5.20 petang serta 6.10 petang, 8 September lalu. – KOSMO! ONLINE














