SKUAD hoki remaja lelaki kebangsaan menjalani siri jelajah terakhir di China bagi menghadapi beberapa aksi persahabatan sebagai persediaan menjelang kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) bulan depan.
Siri jelajah yang berlangsung di Liaoning itu menyaksikan Young Tigers akan mengharungi lima perlawanan persabatan menentang Liaoning dari Dalian serta Pasukan Hoki Liaoning Province.
Jurulatih skuad remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, siri jelajah itu merupakan satu langkah bagi memastikan pemain-pemain lebih serasi dalam usaha membentuk skuad terbaik.
“Objektif pada siri jelajah kali ini adalah meningkatkan keserasian selain latihan untuk memenangi perlawanan. Selain itu, kita juga memperkemaskan pukulan sudut penalti (PC) ketika bertahan dan menyerang.
“Selain itu, antara perkara lain yang penting adalah keberkesanan melakukan serangan balas pantas selain bertahan ketika berdepan serangan balas lawan. Mentaliti serta psikologi pemain juga akan diperkuatkan,” katanya.
Menerusi persediaan rapi serta latihan intensif yang dirangka buat pemain-pemain negara, Young Tigers dijangka mampu menampilkan aksi terbaik dalam usaha mereka memburu kedudukan podium.
Tambah Nor Saiful, beliau akan memanfaatkan siri jelajah itu dengan sebaik-baiknya bagi mencuba beberapa jenis taktikal yang perlu disesuaikan setiap kali berdepan pasukan berbeza.
“Jelajah ini juga bertujuan untuk meningkatkan lagi permainan sebagai satu pasukan dengan membuat perubahan terhadap corak taktikal dalam setiap perlawanan. kita juga perlu mengurangkan kesilapan dalam kawasan D,” ujarnya.
Sebagai rekod, Malaysia pernah memenangi kejohanan SOJC sekali, iaitu ketika ia dianjurkan buat kali pertama pada 2011 di mana pasukan negara menewaskan Australia 3-2 di perlawanan akhir. – KOSMO! ONLINE