KUALA LUMPUR – Suasana tegang menyelubungi kawasan luar Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini pagi ini apabila baki 15 penduduk berdepan tindakan pengusiran selepas enggan berpindah dari kediaman mereka.
Seawal pagi, pihak polis telah memasang khemah kawalan serta mengetatkan sekatan di laluan masuk. Bagaimanapun, beberapa penduduk masih berkeras tidak berganjak malah ada yang cuba melakukan provokasi sebelum berjaya dikawal.
Tinjauan Kosmo! sekitar pukul 7 pagi mendapati kumpulan besar penduduk yang dijangka berhimpun bagi membantah operasi berkenaan tidak kelihatan.
Arahan pecah pintu turut terpaksa dikeluarkan apabila terdapat penghuni yang enggan keluar meskipun suasana agak tegang.
Bagaimanapun, operasi tetap diteruskan dengan kawalan ketat pihak berkuasa.
Difahamkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman turut cedera dibaling objek.
Ini merupakan kali kedua operasi pengusiran dilaksanakan selepas cubaan pertama pada 16 Julai lalu bagi mengeluarkan 14 keluarga gagal.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru oleh KLCG sebelum ini mendapat tentangan sebahagian penduduk walaupun majoriti sudah menerima tawaran pampasan dan berpindah keluar lebih awal. – KOSMO! ONLINE