KUALA LUMPUR – Aksi ‘yo-yo’ beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berterusan selepas tersingkir di pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong.
Pada perlawanan yang berlangsung di Hong Kong Coliseum sebentar tadi, juara Terbuka India itu tewas 21-14, 16-21, 13-21 kepada beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.
Turun sebagai pilihan kedua, beregu yang diberi julukan DinFei itu bermula langkah kanan apabila menampilkan aksi cukup baik bagi memenangi set pertama.
Bagaimanapun, aksi mereka mula merosot pada dua set berikutnya sebelum akur tidak dapat melangkah ke suku akhir apabila tewas dalam tempoh 46 minit.
Keputusan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin sudah tiga kali berturut-turut tersingkir di pusingan awal selepas turut mengalaminya pada Terbuka China dan Kejohanan Dunia.
Naib juara Jelajah Dunia Akhir 2024 itu kini memiliki masa beberapa hari bagi melakukan persiapan menjelang kejohanan China Masters minggu depan.
Dalam perkembangan sama, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin melangkah ke suku akhir selepas menyingkirkan pasangan berpengalaman, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Gandingan No.14 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan menerusi aksi tiga set 21-10, 14-21, 21-16 dalam tempoh 46 minit.
Menjelang suku akhir esok, naib juara China Masters tahun lalu itu akan berdepan pasangan No.2 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping. – KOSMO! ONLINE