PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini memulakan pelayaran bersejarah menuju Gaza, dengan jangkaan tiba di perairan wilayah bergolak itu dalam tempoh lapan hingga 10 hari.
Sukarelawan Malaysia, ZRA Strim atau nama penuhnya Zainal Rashid Ahmad menerusi perkongsian di Facebook memberitahu, sekitar pukul 10 pagi waktu Itali (4 petang waktu Malaysia), kapal layar Lady Bark telag berangkat dari Pelabuhan Agusta, Itali.
Katanya, kapal itu merupakan salah satu daripada 17 kapal awal yang belayar, membawa semangat solidariti antarabangsa untuk rakyat Palestin.
Wartawan bebas itu berkata, di atas Lady Bark, tiga sukarelawan Sumud Nusantara bergabung tenaga bersama lima pelayar Itali termasuk kapten dan kru, serta seorang doktor dari Sweden.
“Kami akan bergabung dengan lebih 40 kapal layar di Lautan Mediteranean, gabungan dari Sepanyol dan Tunisia.
“Jangkaan lapan ke 10 hari belayar, kami akan sampai di perairan Gaza. Ini usaha tanda pasrah…sepenuhnya berserah pada Allah. Doakan kami sampai ke Gaza,” katanya. – KOSMO! ONLINE