fbpx
SKUAD B-23 tewas berdepan Thailand sekali gus gagal untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia B-23. - FB MALAYSIA NT

Skuad B-23 terus mengecewakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETUA jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain berharap tuah dapat kembali memihak kepada pasukan kebangsaan selepas gagal mencapai objektif pada dua kejohanan yang disertai tahun ini.

Skuad muda Harimau Malaya telah dikritik hebat apabila terkandas di peringkat kumpulan saingan Piala ASEAN B-23 2025 yang berlangsung di Indonesia pada bulan lepas.

Kemudian, impian skuad B-23 untuk bersaing di pentas Piala Asia B-23 buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas berada di kedudukan ketiga peringkat kelayakan Kumpulan F.

Misi wajib menang pasukan negara pada aksi terakhir menentang Thailand tidak berhasil selepas kecundang 1-2 kepada Thailand di Stadium Thammasat, Bangkok, kelmarin.

Menurut Nafuzi, semua pemain perlu belajar daripada kesilapan dan mempamerkan kebangkitan dramatik menjelang satu lagi kejohanan yang akan diharungi tahun ini iaitu temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.

“Sudah tentu saya kecewa kerana kita tidak layak ke Piala Asia B-23. Saya rasa pasukan kami dibarisi pemain muda dan harap mereka mengambil keputusan ini sebagai pengajaran.

“Kita perlu belajar untuk beraksi dengan lebih baik dan bekerja keras untuk mengharungi kejohanan akan datang (Sukan SEA). Namun, saya tidak mahu salahkan pemain kerana mereka sudah berikan segalanya (untuk layak),” katanya.

Mengulas mengenai kekalahan kepada skuad muda Gajah Perah itu, Nafuzi menganggap faktor padang yang becak ekoran hujan lebat telah menjejaskan momentum pasukan.

“Thailand pasukan yang sangat baik, mempunyai pemain berkualiti. Tetapi, kami tetap memberi tentangan hebat dan juga mempunyai peluang untuk menang. Kami mencipta banyak peluang jelas untuk menjaringkan gol.

“Apa yang pasti, bukan mudah bermain di padang yang becak selepas hujan lebat kerana ia menjejaskan corak permainan kedua-dua pasukan,” katanya.

Skuad B-23 negara telah beraksi sebanyak tiga kali di kejohanan berprestij itu selepas edisi 2018 di China, 2022 (Uzbekistan) dan 2024 (Qatar).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN