PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi pegawai agensi penguat kuasa wanita kerana disyaki terlibat sindiket ‘counter setting’.
Menurut sumber, suspek yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2) ditahan ketika hadir memberi keterangan Pejabat SPRM Kuala Lumpur sekitar pukul 10 malam, semalam.
“Suspek disyaki bersekongkol dengan sindiket counter setting di mana mereka dipercayai terlibat rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukkan warga negara asing ke negara ini tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan Op Rentas yang dijalankan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM pada Selasa lalu,” katanya.
Majistret Nurul A’in Faqihah Mohd. Yusof membenarkan suspek berusia 40-an direman selama lima hari sehingga 15 September ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.
Sebelum ini, menerusi Op Rentas, seramai 30 individu telah ditahan yang mana 27 daripada mereka melibatkan 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam yang ditahan reman antara empat hingga tujuh hari bermula semalam.
Susulan itu, SPRM menyita pelbagai jenis aset seperti kereta dan motosikal, barangan kemas, kepingan emas, peranti telekomunikasi, beg tangan serta jam tangan yang belum dianggarkan nilai keseluruhannya.
SPRM juga menyita wang tunai lebih RM200,000 dan membekukan 57 akaun perbankan melibatkan 48 akaun individu dan sembilan akaun syarikat melibatkan nilai lebih RM2.7 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE