SHAH ALAM – Hanya kerana tidak mahu ke sekolah selepas kasutnya terkena najis seekor kucing telah membuatkan seorang pelajar sanggup membuat laporan palsu berkaitan cubaan culik, hari ini.
Laporan itu diterima kira-kira pukul 9.22 pagi daripada pelajar berusia 13 tahun dengan kononnya cubaan culik itu berlaku ketika dia sedang berjalan kaki ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati remaja berkenaan telah memberitahu bapanya berusia 37 tahun berhubung kejadian palsu itu sebelum hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini.
Katanya, soal siasat dijalankan mendapati laporan yang dibuat oleh mangsa adalah tidak benar sama sekali.
“Remaja itu telah mengaku bahawa laporan polis yang dibuat adalah bertujuan sebagai alasan untuk diberikan kepada bapanya ekoran tidak mahu ke sekolah.
“Ini disebabkan kasut sekolahnya telah terkena najis seekor kucing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, polis tidak meneruskan siasatan terhadap remaja itu berikut dia masih lagi bersekolah.
Bagaimanapun katanya, amaran keras telah diberikan kepada pelajar serta bapa pelajar tersebut.
“Kes telah pun selesai disiasat dan bapa remaja tersebut telah membuat penarikan laporan polis setelah dimaklumkan mengenai kejadian sebenar yang berlaku itu,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE