fbpx
Mohd. Khalid.

Projek Satelit X-Band tingkat kecekapan komunikasi PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus melakar sejarah apabila berjaya menyiapkan Projek Pembangunan Komunikasi Satelit X-Band yang mula dibangunkan sejak 1 Januari 2022 dan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2024.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, inisiatif taktikal itu berperanan mengekalkan fungsi komunikasi dalam situasi bencana, kawasan pedalaman, sempadan atau ketika rangkaian awam tergendala.

“Peralatan ini dipasang dalam sebuah bas khas yang dilengkapi sistem kawalan, capaian data serta komunikasi masa nyata (real time). Ia sekali gus membolehkan penyelarasan operasi dilaksanakan dengan lebih cekap dan efisien sebagai force multiplier kepada PDRM,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan September 2025 anjuran Jabatan Logistik dan Teknologi di sini, hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada 20 pegawai dan anggota termasuk pegawai awam yang menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara atas mutu perkhidmatan cemerlang serta berkualiti.

“Syabas dan tahniah kepada semua penerima. Penganugerahan ini diharap dapat meningkatkan motivasi seluruh warga pasukan untuk lebih kompeten dan berdaya saing seiring dengan hasrat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Khalid menyeru seluruh warga PDRM agar terus mengekalkan taat setia kepada negara menjelang sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut tidak lama lagi.

“Penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara hendaklah dijadikan pegangan demi mengekalkan keamanan dan keharmonian, berteraskan citra Malaysia yang unik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Komisioner Polis Gilbert Anak Philip Layang, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi serta seluruh jawatankuasa kerja yang menjayakan perhimpunan bulanan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI