JAKARTA – Polis masih menyiasat penemuan rangka manusia di dalam pokok enau di Sei Rampah, wilayah Sumatera Utara, lapor portal berita detiknews hari ini.
Menurut agensi berita rasmi Antara, rangka manusia itu mula-mula ditemui penduduk setempat bernama Rian, 17, pada Selasa lalu.
Ketika itu, Rian bersama dua rakannya sedang memetik buah kelapa sawit.
Rian terlihat tulang di dalam pokok enau yang sudah tumbang dan mati.
Dia kemudian memberanikan diri membuka pokok kulit enau tersebut.
Susulan penemuan itu, polis menggesa orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya membuat laporan di balai polis berdekatan.
Polis bersama pasukan forensik turun ke lokasi untuk memindahkan rangka manusia tersebut.
Pada rangka itu polis turut menemui pemetik api, seluar panjang berwarna hitam, baju -T berwarna biru, gelang besi dan telefon bimbit Nokia.
“Kami menggesa penduduk yang ada kehilangan ahli keluarga supaya membuat laporan di balai polis terdekat,” kata Ketua Balai Polis Firdaus, Inspektor Ahmad Albar. – AGENSI