fbpx
Johari

Pembangunan semula hanya untuk orang Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pemaju Kampung Sungai Baru perlu membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu memandang­kan tanah itu adalah hak milik kaum berkenaan yang diberikan oleh Sultan Selangor ketika itu pada zaman British.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemaju perlu memahami keunikan tanah Kampung Sungai Baru dan sebarang usaha membangunkan kawasan itu ­perlu memelihara dan mengambil kira kepentingan kaum ­Melayu.

Katanya, pemaju harus memastikan orang Melayu dan penduduk asal tanah itu, mampu memiliki kediaman yang akan dibangunkan, dengan harga yang bersesuaian dan berupaya membina kehidupan yang baik di situ bersama keluarga mereka.

“Hari ini kita berdepan masalah yang sangat kronik dari segi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan saya tidak bersetuju perkara ini diteruskan.

“Tetapi disebabkan perkara ini sudah berlaku dan tidak mungkin boleh berpatah kembali, justeru pemaju perlu pastikan pembangunan di kawasan seluas 3.19 hektar itu mampu dibeli oleh orang Melayu,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, media melaporkan operasi pengosongan bangunan kecoh seketika apabila penduduk mula mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk
ke kawasan perumahan ber­kenaan.

Operasi berkenaan dilaporkan diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.

Beliau berkata, tindakan pemaju menggunakan akta pengambilan secara paksa kepada 14 pemilik rumah yang enggan keluar juga suatu yang disifatkan tidak bertanggungjawab.

“Apabila kerajaan terdahulu ambil alih kawasan ini, tidak ada dalam kalangan mereka yang melihat isu pengusiran penduduk di situ beramai-ramai oleh pemaju.

“Jadi ini yang berlaku sekarang, di mana pemaju tidak bertanggungjawab melihat kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya di tanah yang seme­mangnya untuk orang Melayu.

“Saya juga sedih apabila berlaku hingga ke tahap mencederakan kakitangan awam iaitu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman,” katanya.

Beliau juga akan berjumpa untuk berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa bagi memastikan kawasan dibangunkan itu hanya boleh dibeli oleh orang Melayu.

“Sebab sejarah tanah ini adalah tanah Melayu, jadi hanya orang Melayu yang boleh beli produk daripada pemaju.

“Kalau tiada orang Melayu nak beli, pemaju kena tunggu sehingga orang Melayu dapat beli,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI