fbpx
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah flat di Danau Kota, Setapak semalam.

PATI ‘histeria’ diserbu imigresen, 125 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ada segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) memberi alasan mempunyai masalah kesihatan dan kekejangan selain bertindak seolah-olah ‘histeria’ bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Itu antara drama yang dihadapi pegawai JIM ketika menggempur penempatan warga asing disyaki PATI di sebuah flat di Danau Kota, Setapak, di sini semalam.

Wartawan Kosmo! yang menyertai serbuan bermula pukul 12 tengah malam itu mendapati terdapat segelintir warga asing yang enggan memberi kerjasama dengan membuka pintu rumah.

Pegawai JIM kemudian terpaksa menggunakan ‘grinder’ (pemotong besi) bagi membuka pintu rumah sebelum menemui beberapa individu bersembunyi di dalam bilik.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, dalam serbuan terbabit, seramai 125 individu ditahan membabitkan 81 lelaki dan 43 wanita serta seorang remaja berusia 16 hingga 70 tahun.

Menurutnya, mereka ditahan terdiri daripada 69 warga Myanmar, India (25), Indonesia (12), Pakistan (14) dan Bangladesh (5).

“Operasi ini adalah lanjutan daripada aduan yang kita terima daripada masyarakat di sini yang menyatakan terdapat kebanjiran warga asing dipercayai pendatang tanpa izin telah mendominasi kawasan penempatan ini.

“Risikan selama dua minggu telah mengenapasti satu blok dengan 380 unit dan operasi malam ini telah memeriksa 64 unit yang telah dikenal pasti dengan 400 individu telah diperiksa,” katanya ketika ditemui selepas operasi selesai dijalankan.

Wan Mohamed Saupee berkata, kesemua yang ditahan disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas yang sah dan tinggal lebih masa yang disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, pemeriksaan mendapati kebanyakan PATI menyewa unit rumah dengan kadar RM700 hingga RM1,200 atau unit bilik dengan kadar RM200 hingga RM400 sebulan bergantung kepada keadaan kediaman itu.

“Aduan masyarakat di sini berasa tidak selesa berikutan warga asing yang mabuk dan dipercayai menagih dadah di kawasan kediaman ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Mohamed Saupee berkata, pemilik kediaman yang ingin menyewakan rumah mereka kepada warga asing bertanggungjawab memastikan warga tempatan yang berada di kawasan ini dapat menjalani kehidupan yang tenteram dan selesa.

“Pemilik rumah mesti pastikan warga asing tersebut mempunyai dokumen sah dan mereka juga boleh hadir ke pejabat Imigresen untuk membuat semakan kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang tanpa izin,” katanya.

Beliau juga menyeru individu warga asing supaya mengambil peluang menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 untuk pulang ke negara asal secara sukarela yang dibuka sehingga 30 April 2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI