SEREMBAN – Tiga individu termasuk sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan dengan senjata dan memiliki harta samun jongkong emas pada Ogos lalu.
Tertuduh, Muhammad Redzuan Muhammad Khairul Anuar, 25, dan kekasihnya T.S Pretty, 26, serta rakan G.Thanthiran, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Redzuan dan Thanthiran bersama-sama didapati melakukan rompak berkumpulan dengan senjata sebilah parang dan pisau terhadap seorang mangsa wanita dengan merompak dua pasang subang emas, seutas rantai leher emas, dua buah jongkong emas, dan seutas gelang tangan.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang 3 pagi di Kota Seriemas, Nilai pada 3 Ogos lalu.
Seterusnya Pretty pula telah didakwa memiliki harta samun iaitu jongkong emas dengan anggaran berat enam gram bernilai RM1,300 yang mana dia ada sebab mempercayai itu merupakan harta yang disamun.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 2 petang di tepi jalan berhadapan Kedai Pajak Sin Loong Sdn Bhd, Sentul di Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu.-KOSMO! ONLINE