PASIR MAS – Seorang mudir di sebuah pondok di Tumpat dekat sini didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.
Tertuduh, Muhammad Aswadi Yah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki yang berusia 16 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu, Tumpat dekat sini kira-kira pukul 7 pagi hingga 7.30 pagi bermula Jun 2024 sehingga 20 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memiliki gambar lucah di dalam telefon miliknya pada pukul 4.06 petang di lokasi sama pada 29 Ogos lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM45,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE