BARCELONA – Pelumba Aprilia, Jorge Martin berharap pasukan itu mencari tetapan terbaik bagi memastikan dia dapat menampilkan tunggangan lebih pantas dalam sesi kelayakan setiap perlumbaan.
Setakat ini, jentera RS-GP menunjukkan prestasi cukup baik dalam perlumbaan sebenar, namun ia masih belum mampu membantu Martin untuk merebut kedudukan 10 teratas pada sesi kelayakan.
Justeru, pelumba berusia 27 tahun itu menggesa pasukannya mencari tetapan terbaik supaya jentera dapat menampilkan prestasi maksimum dalam kedua-dua sesi kelayakan dan perlumbaan sebenar.
“Saya sudah faham dengan prestasi jentera. Selepas ini, kami mungkin perlu mencari tetapan bagi membolehkan jentera beraksi dengan baik, tidak kira ketika sesi kelayakan atau hari perlumbaan.
“Buat masa ini, saya tidak boleh mengerah jentera ke tahap maksimum pada sesi kelayakan kerana tidak dapat membrek dengan sempurna. Jika saya paksa, semuanya akan menjadi lebih sukar,” katanya.
Bekas pelumba Pramac Racing itu turut berharap dia dapat mengeluarkan potensi sebenar dimiliki RS-GP menjelang sesi ujian di Litar Misano yang akan berlangsung pada 15 September ini.
“Bagi saya, ini adalah proses adaptasi antara saya bersama jentera. Ujian di Misano nanti sangat penting bagi membolehkan saya memahami apakah aspek yang perlu diperbaiki,” ujar Martin. – AGENSI