KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berkawal di tapak operasi pelaksanaan writ milikan kosong melibatkan 26 hak milik individu merangkumi 37 rumah teres di Kampung Sungai Baru, di sini malam ini.
Setakat jam 7.30 malam, tinjauan Kosmo! mendapati beberapa kenderaan PDRM masih berada di lokasi dengan keadaan tenang serta hanya kelihatan beberapa individu berkumpul di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada operasi berkenaan sudah selesai sepenuhnya.
Terdahulu, media melaporkan PDRM bersama beberapa agensi penguat kuasa melaksanakan operasi tersebut selepas melalui beberapa proses perolehan ditetapkan, dengan perintah pengosongan telah dikeluarkan oleh mahkamah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, tindakan itu dilaksanakan selepas melalui beberapa proses perolehan yang ditetapkan dengan perintah pengosongan dikeluarkan oleh mahkamah.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Flat Kampung Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE