KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang tersangkut di tiang konkrit laluan Transit Aliran Massa (MRT) di Taman Tun Dr Ismail, di sini awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 2.41 pagi sebelum menggerakkan seramai 12 anggota serta sebuah jentera dan satu platform tangga (ALP) ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki berada di bawah landasan tiang konkrit laluan MRT.
“Anggota operasi telah menjalankan kerja penyelamatan dengan bantuan (ALP) bagi menurunkan mangsa dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PGOKL berkata, mangsa berusia 30 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Menurut pihak polis, individu tersebut disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah mencuri kabel,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE