BUDAPEST – Pasukan Portugal masih menagih bisa kapten, Cristiano Ronaldo untuk memastikan pasukan melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Hungary dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Arena Puskas itu, skuad Selecao meraih jaringan hasil penyudah Bernardo Silva, Ronaldo dan Joao Cancelo, manakala tuan rumah mendapat dua gol menerusi rembatan Barnabas Varga.
Ketua Jurulatih Portugal, Roberto Martinez mengakui sangat gembira dengan keputusan tersebut selain memuji kualiti jentera serangan yang berjaya memanfaatkan beberapa peluang keemasan yang dimiliki.
“Saya puas hati melihat pasukan dapat meraih dua gol hasil permainan terbuka dan kita juga dilihat cukup bahaya ketika situasi set-piece. Kemudian, kita meraih penalti tetapi apa yang penting adalah mentaliti juara.
“Secara peribadi, saya rasa pasukan kami semakin seimbang kerana kualiti jentera serangan semakin baik dan kita kini tidak terlalu bergantung kepada pemain penyerang semata-mata kerana tonggak di posisi lain (Silva dan Cancelo) juga mampu jaringkan gol,” katanya.
Ronaldo yang berjaya menyempurnakan penalti pada perlawanan itu menyaksikan dia berjaya menyamai rekod penjaring terbanyak saingan kelayakan Piala Dunia milik pemain Guatemala, Carlos Ruiz dan tiga gol di hadapan Lionel Messi.
Jaringan itu juga menyaksikan Ronaldo mengumpul 141 gol dalam 223 penampilan di peringkat antarabangsa dan memiliki 943 gol sepanjang karier profesionalnya. – AGENSI