PETALING JAYA – Tindakan pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew menziarahi pusara pelajar tingkatan 1, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Tanah Perkuburan Tanjung Hubi, Mesapol, Sipitang, Sabah, menyentuh hati orang ramai.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ebit Lew itu turut berkesempatan mendoakan supaya keluarga Allahyarham diberikan kekuatan.
“Sempat ziarah pusara adik Zara Qairina. Ya Allah, hadiahkanlah syurga Firdaus buat dirinya.
“Berilah kekuatan buat ibu bapa dan keluarganya. #justiceforzaraQairina,” tulisnya pada kapsyen gambar yang dikongsikan di media sosial, hari ini.
Hantarannya itu meraih pujian orang ramai yang rata-rata memuji usaha Ebit Lew meluangkan masa menziarahi pusara Zara Qairina.
“Masya-Allah, ustaz pun turut datang menziarahi kubur adik arwah Zara. Semoga ustaz sihat selalu,” ujar @Mohd Farhan Ahadin.
“Terima kasih ustaz sudi ziarah pusara arwah Zara. Semoga keadilan untuk arwah akan dapat ditegakkan,” komen @Adrian Edy.
“Alhamdulillah, terbaik Ustaz Ebit Lew,” ucap netizen yang lain.
Terdahulu, ulama tersohor dari Yaman, Syeikh Niyaz Al Adeni dan pelakon Riezman Khuzaimi serta Sophia Albarakbah antara yang berpeluang menziarahi pusara pelajar berkenaan.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu.
Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada pukul 11 pagi keesokan harinya. – KOSMO! ONLINE
								
								
											












