IPOH – Dua beradik yang juga pengarah sebuah stesen minyak masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual minyak diesel melebihi had ditetapkan kepada sebuah lori yang telah diubah suai, dua tahun lalu.
Tertuduh, Wong Kee Seung, 71, dan adiknya, Wong Kee Sooi, 62, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas dua beradik itu membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang mewakili Syarikat Petrol Botani Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen barang kawalan runcit didapati telah menjual bahan api diesel kepada Lee Kar Foo, 42, yang diisi dalam tangki lori yang telah diubah suai berjumlah 2,558.16 liter.
Tindakan tersebut telah melanggar arahan Pengawal bertarikh 17 Jun 2022 perenggan 2(c) yang menyatakan bahawa pemegang lesen runcit hanya dibenarkan menjual diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia tidak lebih daripada 250 liter dengan sekali transaksi sahaja sehari ke dalam tangki kenderaan asal.
Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE














