SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan setakat ini tiada unsur jenayah ditemui dalam kejadian kebakaran yang mengorbankan dua beranak di Kampung Sri Indah A, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh daripada Jabatan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Polis akan menunggu laporan penuh daripada forensik JBPM dan kes akan diklasifikasikan semula sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah yang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam kejadian itu, beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 1.43 pagi.
“Kebakaran turut melibatkan sebuah restoran berhampiran namun api berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan bomba pada pukul 3.40 pagi,” ujarnya.
Menurut Mohd. Hafiz, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
“Polis juga telah berjaya mengesan waris mangsa dan ujian perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA) akan dijalankan bagi mengesahkan hubungan biologikal,” ujarnya.
Beliau turut meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd. Ikhwan Romli di talian 014-9418550 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, dua beranak maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Sri Indah A.
Mangsa dikenali sebagai Kaw Sing Chai, 94, dan anaknya Kaw Swee Fatt, 62, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE