NEW YORK – Bilionair Elon Musk berisiko hilang gelaran orang terkaya dunia kepada pengasas bersama Oracle, Larry Ellison yang mana syarikat perisian miliknya dijangka meraih keuntungan besar dalam bidang kepintaran buatan (AI).
Kekayaan Ellison, 81, bertambah lebih AS$100 bilion (RM421.9 bilion) semalam apabila saham Oracle melonjak selepas syarikat berusia hampir 50 tahun itu meramalkan perolehan pendapatan besar di tengah-tengah ledakan pelaburan AI.
Peningkatan itu menyaksikan Ellison memiliki kekayaan mencecah AS$406 bilion(RM1.71 trilion) berbanding aset AS$440 bilion (RM1.85 trilion) milik Musk, demikian menurut indeks bilionair masa sebenar majalah Forbes.
Syarikat milik Musk, Tesla awal bulan ini memperkenalkan cadangan pampasan untuk beliau yang boleh mencapai lebih AS$1 trilion (RM4.2 trilion) sehingga tahun 2035 jika Tesla mencapai sasaran tingginya. Para pemegang saham Tesla akan mengundi rancangan itu November ini.
Ellison yang merupakan penyokong lama Presiden Donald Trump kini memegang lebih 1.1 bilion saham Oracle, demikian menurut firma S&P Capital IQ.
Oracle mengunjurkan pendapatan perniagaan platform awannya berkembang 77 peratus pada tahun fiskal semasa kepada AS$18 bilion (RM75.9 bilion). Pada tahun-tahun berikutnya, pendapatan dijangka meningkat kepada AS$32 bilion (RM135 bilion), AS$73 bilion (RM307.9) blion, AS$114 bilion (RM480.9 billion), dan AS$144 bilion (RM607.5 bilion). – AFP