KOTA KINABALU – Pengawal keselamatan asrama Linah Mansoding @ Jaliha, 65, memaklumkan Mahkamah Koroner dirinya menemui Allahyarham Zara Qairina Mahathir terlentang berhampiran longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri serta tengkuk berdarah sekitar pukul 3 pagi pada 16 Julai lalu.
Bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar sejak 1 Julai 2012, Linah menyatakan kira-kira pukul 2 pagi pada hari kejadian dia sedang membuat rondaan di asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah.
“Saya mendapati tiada sebarang insiden luar biasa berlaku ketika itu. Selepas itu, saya ke Blok Sumayyah yang terletak bersebelahan namun masih berada kawasan asrama perempuan bagi melanjutkan rondaan.
“Bagaimanapun, semasa berada di asrama Blok Sumayyah kira-kira pukul 3 pagi, saya dimaklumkan oleh seorang pelajar terdapat seorang pelajar perempuan pengsan di longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah,” katanya yang bertugas dari jam 8 malam pada 15 Julai hingga 8 pagi, 16 Julai lalu.
Linah berkata demikian ketika membacakan pernyataan kesaksiannya di hadapan Koroner Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina pada Rabu.
Bercerita lanjut, Linah menyatakan dia kemudiannya terus menghubungi Ketua Warden Asrama, Ustaz Azhari bagi memaklumkan kejadian terbabit.
Menurutnya, dia seterusnya mengambil sekeping gambar Allahyarham Zara dalam keadaan terlentang di longkang berkenaan selepas menghubungi Ketua Warden Asrama.
Sementara itu, Linah mendedahkan tiada kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan di blok asrama tempat kejadian selain tidak dilengkapi gril (palang besi) keselamatan di bahagian koridor bangunan. – KOSMO! ONLINE