fbpx
Gambar hiasan.

Tuduh Azam bertindak atas arahan pihak tertentu berniat jahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara bebas tanpa sebarang campur tangan politik, khususnya membabitkan kes syarikat berkaitan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador di Sabah.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim berkata, tuduhan kononnya Ketua Pesuruhjaya SPRM bertindak atas arahan pihak tertentu adalah tidak berasas serta berniat jahat.

“SPRM menjalankan siasatan mengikut kerangka undang-undang, khususnya Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan. Semua hasil siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk ditentukan sama ada wujud asas pendakwaan atau tidak.

“Keputusan mendakwa pula adalah kuasa mutlak timbalan pendakwa raya yang bebas, bukannya Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Jais, kecekapan SPRM menyelesaikan sesuatu siasatan tidak wajar dijadikan alasan untuk menimbulkan keraguan kerana setiap kes berbeza dari segi kerumitan dan bukti.

Katanya, ada kes yang cepat diselesaikan kerana bukti jelas, manakala ada kes lain mengambil masa lebih panjang kerana melibatkan jaringan transaksi yang kompleks.

Semalam, Kosmo! melaporkan, SPRM memutuskan tiada kes jenayah, rasuah atau salah guna kuasa dikesan berhubung isu dakwaan kelulusan lesen cari gali arang batu di Sabah membabitkan Farhash Wafa.

Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah selesai menjalankan siasatan dan mendapati tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa dikesan dalam isu berkenaan.

Katanya, SPRM telah memanggil semua yang terlibat bagi merekod keterangan termasuk daripada Sabah Mineral Management Sdn Bhd, kerajaan negeri dan mereka yang dikatakan terlibat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN