JAKARTA – Seorang pengawal keselamatan menerima kecaman orang ramai apabila dirakam menghalau beberapa jemaah yang sedang berehat di dalam sebuah masjid di Indonesia, lapor portal berita Tribunnews.
Kejadian dirakam di Masjid Istiqlal, Jakarta Tengah baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @vincentiusferrerputra02 menunjukkan pengawal wanita terbabit menghalau beberapa jemaah lelaki yang sedang bersandar pada tiang.
Dia bukan sahaja marah, malah menggunakan pembesar suara untuk menegur mereka.
“Kalau tidak mahu dibangunkan dan diganggu, tidur di rumah masing-masing! Faham? Kalau mahu solat silakan, mahu baca al-Quran silakan,” kata wanita itu.
Klip tersebut mencatatkan lebih 851,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“Mereka hanya berehat dan tidak mengganggu orang lain yang ingin solat,” kata seorang netizen.
“Kenapa larang orang berehat dalam masjid? Siapa buat peraturan itu?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI