PETALING JAYA – Hujan lebat berterusan sejak malam tadi mengakibatkan banjir besar melanda beberapa kawasan di Bali, Indonesia.
Menerusi perkongsian pengguna media sosial, paras air dilaporkan mencecah pinggang malah beberapa buah kenderaan turut dihanyutkan arus deras.
Menurut laporan media tempatan, dua penduduk di Jembrana dilaporkan meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras.
Seorang pengguna di laman X berkata, dia seperti tidak percaya keadaan banjir yang teruk itu boleh berlaku di Bali.
“Masih tak percaya banjir di Bali boleh seteruk ini. Seperti bukan Bali yang aku kenal,” katanya.
Selain itu, seorang lagi pengguna berkata, dia dan keluarga sudah menetap selama 30 tahun di Bali namun ini merupakan kali pertama mengalami banjir yang begitu teruk.
“Orang tuaku sudah 30 tahun lebih tinggal di rumah Bali ini. Baru kali ini rumah terkena banjir, tak tidur dari malam tadi betul-betul panik kerana baru pertama kali kena banjir,” kata Jee.
Seorang pelancong dari negara ini dikenali sebagai Matcha Bae berkata, dia bersama keluarganya kini terkandas di sebuah resort di Denpasar gara-gara air naik mendadak.
“Terkandas di Denpasar, Bali. Tiba-tiba hujan berterusan air naik tinggi pagi ini,” katanya dalam satu hantaran di TikTok. – KOSMO! ONLINE