fbpx
ANGGOTA bomba bertindak mengalihkan dahan pokok berhampiran Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim dekat Lipis semalam.

Suami isteri trauma kereta dihempap pokok tumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Sepasang suami isteri trauma selepas berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang ketika dalam perjalanan pulang membeli juadah berbuka puasa berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Wan Ibrahim, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, mangsa, Che Mohd Ismarizan Che Ismail, 40, dan isterinya, Juhainah Wahab, 39, dalam perjalanan pulang dari Kampung Tempoyang di sini menghala ke rumah mereka di Taman Damai Impian 2.

Menurut Che Mohd Ismarizan, ketika kejadian angin kuat bertiup dan hujan sebelum dia terdengar bunyi seperti pokok tumbang.

“Saya nampak sebatang pokok besar di bahagian kanan jalan mula condong lalu cuba menekan minyak untuk mengelak, namun kereta tetap dihempap dahan pokok.

“Laju pun tak boleh sebab ada bonggol, ingatkan terselamat sebab pokok daripada seberang jalan, rupa-rupanya tetap kena juga,” katanya di sini hari ini.

Che Mohd Ismarizan berkata, akibat kejadian itu, bahagian bumbung, bonet depan serta pintu pemandu kereta rosak teruk selain cermin hadapan pecah.

“Isteri saya turut terkejut sehingga pitam seketika. Selain itu kami juga mengalami luka kecil di jari dan tapak tangan akibat terkena serpihan kaca,” katanya.

Tambahnya, mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan.

Difahamkan, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan kerosakan kenderaan pasangan itu akan ditanggung oleh PBT. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN