PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menumpaskan sindiket kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras dengan memanipulasi borang pengisytiharan barangan import dan eksport.
Menerusi Op Lung yang bermula pada 9 September lalu di sekitar Lembah Klang, SPRM berjaya menahan dua individu masing-masing seorang pengarah syarikat berusia 30-an dan seorang pengurus berusia 40-an.
Kedua-dua suspek lelaki berkenaan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Susulan itu, kedua-dua suspek telah direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 12 September oleh Majistret Mahkamah Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin.
Serbuan turut dilakukan di 15 syarikat dan lima premis perniagaan yang dikenal pasti sebagai gudang simpanan haram.
Hasil serbuan tersebut telah menemui minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk tanpa pengisytiharan cukai kepada kerajaan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, nilai cukai yang tidak diisytiharkan dianggarkan kira-kira RM500,000 dan jumlah ini dijangka meningkat berikutan siasatan lanjut terhadap beberapa lagi premis yang dikenal pasti.
Jelas beliau, SPRM juga telah membekukan 14 akaun syarikat dan empat akaun individu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) melibatkan jumlah keseluruhan RM2.4 juta.
“Jumlah ini dijangka meningkat susulan pengesanan penglibatan beberapa lagi syarikat dan individu yang dipercayai bersubahat dengan sindiket berkenaan,” katanya.
Menurut Azam, siasatan SPRM kini tertumpu kepada elemen rasuah dan penipuan melalui perisytiharan palsu serta pengubahan wang haram dan pengesanan aset yang berkaitan.
“SPRM menjangkakan lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE