PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah melaksanakan satu operasi besar-besaran terhadap sebuah syarikat yang dipercayai bertindak sebagai kartel pembekalan diesel di Sibu, Sarawak sejak lebih 10 tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan awal mendapati syarikat terbabit dipercayai memonopoli tender kerajaan negeri dengan taktik rasuah, penyeludupan dan penyelewengan sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit kepada kerajaan.
“Ada tangkapan, tapi saya tidak boleh dedahkan jumlahnya. Saya embargo terlebih dulu sebab saya akan buat sidang akhbar dalam masa terdekat. Biar siasatan dan tindakan dijalankan oleh pegawai kami dulu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Azam turut mengesahkan SPRM menjalankan siasatan terbaru berhubung kes syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI) berkaitan rasuah konsesi perlombongan pasir.
Menurut beliau, dua individu telah dibawa ke ibu pejabat SPRM sejak minggu lalu untuk membantu siasatan, namun identiti mereka tidak dapat didedahkan buat masa ini.
“Memang ada tangkapan, tetapi saya tidak mahu dedahkan butiran lanjut. Apabila tiba masanya, kita akan umumkan hasil penuh siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE