PUTRAJAYA – Malaysia menyifatkan serangan dron terhadap sebuah kapal utama Global Sumud Flotilla (GSF) di Tunisia, baru-baru ini sebagai tindakan bacul serta melanggar undang-undang antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, serangan terhadap aktivis kemanusiaan itu nyata bertujuan menakut-nakutkan serta melemahkan misi aman yang dilaksana bagi memecahkan kepungan Israel di Gaza.
“Serangan ini adalah tindakan bacul, tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang antarabangsa dan langsung tidak menghormati nilai-nilai sejagat.
“Ia juga percubaan menghalang, menakut-nakutkan dan melemahkan misi aman yang bertujuan memecahkan kepungan Gaza dan menyampaikan mesej solidariti dari dunia buat rakyat Palestin, khusus mereka yang berada di Gaza,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Katanya, beliau dimaklumkan tiada aktivis Malaysia terlibat dalam insiden serangan dron itu.
Fahmi berkata, Pengarah Sumud Nusantara Media Coordination Center, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery yang berada di Tunisia telah memaklumkan perkara itu.
Menurutnya, beliau juga dimaklumkan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Cinta Gaza Malaysia akan mengaktifkan Malaysia Flotilla Mission Media Coordination Center di Mapim Central Warehouse di Sepang.
“Kami di Kementerian Komunikasi akan sediakan bantuan sewajarnya terutama berkaitan dengan Media Coordination Center yang dikeluarkan oleh pihak Mapim sekiranya ada yang diperlukan,” katanya.
Ketika ini, GSF yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pertengahan bulan ini selepas belayar merentasi Laut Mediterranean. – KOSMO! ONLINE