PETALING JAYA – Kementerian Luar Negeri Qatar mengesahkan kejadian letupan yang berlaku di Legtaifiya, Doha adalah serangan rejim Israel ke atas pejabat pemimpin Hamas.
Kedutaan Besar Malaysia di Doha dalam kenyataan berkata, setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan dalam insiden berkenaan.
“Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang berada di Qatar dinasihatkan supaya terus berjaga-jaga, mengelakkan kawasan kejadian serta mengikuti perkembangan semasa melalui sumber sahih yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara itu,” kata kenyataan itu malam ini.
Kerajaan Qatar dalam pada itu memberi jaminan bahawa keadaan kini terkawal sepenuhnya dan ruang udara negara berkenaan tidak akan ditutup.
Menurutnya, bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, orang ramai boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Doha melalui e-mel [email protected] atau talian +974 4483 6463 (waktu pejabat) dan +974 3374 6733 (selepas waktu pejabat).
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tentera Israel melakukan serangan yang menyasarkan pemimpin-pemimpin kanan Hamas di Qatar hari ini, manakala Doha mengutuk serangan ke atas bangunan yang menempatkan pegawai pejuang Palestin di ibu negaranya itu.
Qatar berkata, serangan Israel menyasarkan rumah beberapa anggota biro politik Hamas yang menetap di negara Teluk itu, di mana pimpinan kanan kumpulan pejuang tersebut berpusat. – KOSMO! ONLINE