DOHA – Qatar akan meneruskan peranan menjadi pengantara rundingan gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza meskipun selepas serangan Israel yang menyasarkan pemimpin-pemimpin kanan Hamas di Doha, kata Perdana Menterinya semalam.
Enam orang terkorban termasuk anak lelaki ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya dan seorang pegawai keselamatan Qatar, dalam serangan udara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Serangan itu mencetuskan ancaman untuk menggagalkan usaha pengantaraan.
Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani berkata, Qatar mempunyai hak untuk bertindak balas terhadap serangan terang-terangan itu serta menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘saat penting’ bagi rantau itu.
“Tiada apa yang akan menghalang kami daripada meneruskan peranan (pengantaraan) ini untuk semua isu yang berbeza di sekeliling kami di rantau ini,” tambah beliau.
Doha yang merupakan sekutu utama Amerika Syarikat (AS) dan menempatkan pangkalan tentera Amerika terbesar di rantau itu, telah menjadi tuan rumah bagi biro politik Hamas sejak 2012 dengan izin Washington.
Sementara itu, White House berkata, Presiden Donald Trump tidak bersetuju dengan keputusan Israel untuk mengambil tindakan ketenteraan di bumi sekutu AS.
Tambahnya, Washington telah memberi amaran kepada Qatar terlebih dahulu mengenai serangan yang akan berlaku.
Qatar bagaimanapun menafikan menerima amaran awal serta mengatakan bahawa ia dimaklumkan oleh AS hanya selepas serangan itu bermula. – AFP