KUALA LUMPUR – Kekalahan di seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong boleh dianggap mengejutkan buat beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turun sebagai pilihan utama.
Bekas juara dunia itu seolah-olah menampilkan aksi di bawah paras sebenar semalam apabila tewas mudah 13-21, 13-21 dalam tempoh kurang setengah jam kepada beregu England, Ben Lane-Sean Vendy.
Situasi tersebut jelas merisaukan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi yang menyifatkan permainan kedua-dua anak buahnya itu menunjukkan penurunan sejak Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis bulan lalu.
Beliau berkata, penurunan prestasi pasangan No. 2 dunia itu dapat dilihat dengan jelas menerusi corak permainan ditampilkan apabila banyak melakukan kesilapan mudah yang menguntungkan lawan.
“Memang kondisi Aaron-Wooi Yik menunjukkan penurunan dan ia dapat dilihat ketika (Kejohanan Dunia) di Paris lagi. Pada Terbuka Hong Kong ini, memang saya nampak ia terus menurun.
“Dari satu sudut, memang saya risau dengan prestasi mereka tetapi dari sudut lain pula, ini peluang buat beregu-beregu lain untuk membuktikan kemampuan masing-masing di Terbuka Hong Kong,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kelima Aaron-Wooi Yik tersingkir di pusingan pertama sepanjang kempen 2025 selepas mengalami nasib sama pada Orleans Masters, All England, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun.
Pada masa sama, Herry yang turut dikenali sebagai Naga Api menjelaskan, prestasi juara Asia itu jauh berbeza jika dibandingkan ketika beliau mula-mula melatih skuad beregu lelaki negara Februari lalu.
“Teknik permainan mereka memang menurun jika dibandingkan ketika saya awal-awal melatih mereka. Memang benar pergerakan bulu tangkis di sini agak sukar tetapi itu bukan sebabnya (tewas),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE