SEPANG – Polis menyeru orang awam yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil ke depan bagi membuat pengecaman susulan penemuan mayat reput seorang wanita yang ditemui berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 7.50 malam, 1 September lalu.
Beliau berkata, mangsa ditemui berdekatan kawasan Limo, KLIA oleh orang awam tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
“Ketika ditemui, mayat masih berpakaian lengkap iaitu memakai baju-T putih jenama Drum bersaiz XS bertulis Fear Less serta seluar kargo pendek berwarna krim bersaiz L.
“Mayat juga sudah mereput dengan bahagian kepala tidak sempurna dan hanya tinggal tengkorak. Berdasarkan keadaan fizikal, si mati disyaki telah meninggal dunia lebih kurang seminggu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang menemui empat kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa. – KOSMO! ONLINE