KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki pasport orang lain pada dua bulan lalu.
Tertuduh, Ali Basit, 31, yang beralamat di Nilai 3, Negeri Sembilan membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pasport milik individu lain di Bukit Tok Beng, Kuala Nerus pada 28 Julai lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM6,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Oktober depan.
Ali yang diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim juga diarahkan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menyerahkan dokumen perjalanan antarabangsa kepada mahkamah sehingga prosiding selesai. – KOSMO! ONLINE