KUALA NERUS – Tindakan seorang pelajar tingkatan empat yang memecut laju kereta dipandu tanpa lesen sewaktu ditahan polis menimbulkan salah faham disangka penjenayah di Bandar Baru Kuala Nerus di sini pada kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, kereta jenis Proton Wira dipandu remaja berusia 16 tahun itu hampir merempuh kereta peronda polis yang mengejarnya sehingga memaksa anggota terlibat terpaksa mengeluarkan senjata api sebagai amaran.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, kereta peronda polis bertugas terserempak dengan kenderaan mencurigakan itu sewaktu melakukan rondaan cegah jenayah di lokasi kejadian.
“Bagi tujuan keselamatan, salah seorang anggota bertugas terpaksa mengeluarkan senjata api (pistol) jenis HK MP5 sebagai amaran keras sebelum kereta terbabit akhirnya diperlahankan dan berhenti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu tular klip video berdurasi 24 saat itu memaparkan adegan kereta peronda polis mengejar kereta Proton Wira berwarna kelabu tersebut di media sosial. – KOSMO! ONLINE