fbpx
PEMAIN negara, Azmyra Mia Sofea Azhairy (jersi kuning) beraksi cemerlang ketika menentang Singapura dalam aksi klasifikasi lima hingga lapan Piala Asia 2025 hari ini. - AHF

Padang berat jejas pesta gol Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketua jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim masih tidak bergembira biarpun mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas Singapura dalam aksi playoff tempat kelima hingga lapan Piala Asia 2025 hari ini.

Ini disebabkan anak-anak buahnya gagal menambah jaringan dalam baki 30 minit terakhir selepas berjaya menyempurnakan lima gol daripada pukulan sudut penalti (PC) pada suku masa pertama dan kedua.

Menurut Nasihin, kehilangan fokus dan keadaan padang berat akibat cuaca hujan lebat hingga menyebabkan perlawanan terhenti hampir sejam menjadi antara punca selain turut menyaksikan Singapura berjaya menjaringkan satu gol menerusi Johana Hajaratih.

“Kami bermain dan menghukum mereka dengan lima gol di separuh masa pertama. Namun, selepas itu kami kekurangan pemain dan padang juga agak berat menjadikan kesukaran untuk kita tambah jaringan.

“Hari ini kami dapat jaringkan lima gol daripada 14 PC. Okey tetapi masih perlu dibaiki untuk aksi seterusnya menentang Thailand esok,” katanya.

BINTANG negara, Azmyra Mia Sofea Azhairy dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan menentang Singapura dalam aksi klasifikasi lima hingga lapan Piala Asia 2025 hari ini. – AHF

Kesemua lima gol Malaysian Tigress melalui PC hari ini diperoleh menerusi dua jaringan Dayang Nuramirah Abang Mahadini dan Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin selain satu daripada Nuramirah Shakirah Zulkifli.

Ia membuktikan reaksi balas positif daripada para pemain yang sebelum ini masih kecewa gagal melangkah ke Super4s sebagai empat pasukan terbaik kejohanan di Pusat Sukan Gongshu Canal, Hangzhou, China itu.

Kini, skuad negara di ranking ke-25 dunia, akan mengesahkan slot ke penentuan tempat kelima dan keenam jika berjaya menewaskan Thailanda dalam aksi seterusnya hari ini.

“Syukur tiada kecederaan berlaku untuk menentang Thailand. Kami perlu lebih berdisiplin dari segi pertahanan dan beberapa pemain perlu tampilkan aksi yang lebih bagus.

“Kami perlu ambil peluang kerana ini adalah persiapan terbaik ke Sukan SEA (Thailand pada Disember depan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN