KLUANG – Hasrat seorang ibu tunggal untuk melihat anak sulungnya pulih daripada koma selepas terlibat dalam kemalangan motosikal ketika berkonvoi ke Hutan Lipur Gunung Berlumut tujuh tahun lalu musnah apabila menghembus nafas terakhirnya malam tadi.
Shapidah Sahed, 49, berkata, anaknya, Mohd Zaki Hanapi, 23, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8.20 malam di rumahnya di Taman Orked di sini.
Katanya, anaknya sebelum itu berlaku muntah-muntah dan ketika menyiapkan untuk dibawa ke hospital mendapati degupan jantungnya sudah terhenti sebelum disahkan meninggal dunia.
“Kini kesakitan yang ditanggungnya sejak tujuh tahun lalu sudah berakhir dan pulang kepangkuan Penciptanya ke negeri abadi. Sebagai ibu, saya meredai pengakhiran ini walaupun sedih kerana hasrat untuk melihatnya kembali pulih tidak menjadi kenyataan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Shapidah, anaknya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Abdul Jalil (SSAJ) itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru selepas zohor hari ini.
Terdahulu, pada 14 Mac lalu, Kosmo! melaporkan Shapidah dan keluarganya meraikan ramadan serta hari raya Aidilfitri secara sederhana sejak lapan tahun lalu selepas Mohd Zaki cedera parah terlibat dalam kemalangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE