PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan masih gagal dikesan sehingga kini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan termasuk memohon agar pasport antarabangsa milik Muhammad Adlan dibatalkan bagi menghalang beliau terus berada di luar negara.
“Usaha-usaha mengesan beliau sedang giat dijalankan dan semalam kita telah mengambil tindakan dengan memohon pembatalan pasportnya.
“Kita difahamkan beliau dipercayai berada di sebuah negara di Timur Tengah, namun saya tidak boleh menyebut nama negara berkenaan kerana Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan negara tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Kelana Jaya, di sini hari ini.
Menurut Azam, SPRM juga sedang berusaha menjalin perbincangan dengan pihak berkuasa negara terbabit bagi membawa pulang Muhammad Adlan ke Malaysia untuk membantu siasatan.
Sebelum ini media melaporkan, SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Selain Muhammad Adlan, seorang lagi adalah peguam, Mansoor Saat dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.
Pada Oktober 2023, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Interpol.- KOSMO! ONLINE