KUALA TERENGGANU – Seorang mekanik menarik nafas lega terlepas hukuman gantung sampai mati apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 19.98 gram pada tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan demikia selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap pertuduhan ke atas tertuduh Mohd. Faizal Mazlan, 35.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 19.98 gram di hadapan sebuah rumah teres di Kampung Paya Beril, Paka, Dungun pada pukul 6.30 petang, 3 November 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam bela tertuduh, Mohd. Azrul Hasyimi Mohd. berhujah anak guamnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan bungkusan dirampas kerana ia dihantar melalui perkhidmatan kurier atas nama penerima lain.
Beliau berkata, bungkusan tersebut turut memaparkan nombor telefon yang bukan milik tertuduh manakala pihak pendakwaan juga gagal menjelaskan identiti penghantar bungkusan berkenaan dan hubungannya dengan anak guamnya.
“Tidak adil untuk anak guam saya dipertanggungjawabkan terhadap barangan yang jelas bukan miliknya,” hujahnya di mahkamah di sini hari ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Noradila Ab. Latif. – KOSMO! ONLINE