PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi mengesahkan laman web Caghi.com iaitu portal yang didakwa dapat mengakses data peribadi rakyat Malaysia telah pun disekat sejak Jun 2022.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau mengesahkan laman web itu telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Untuk maklumat yang lebih terperinci dan terkini, boleh rujuk dengan pihak MCMC. Tapi memang saya boleh sahkan laman web tersebut telah disekat oleh MCMC sejak Jun 2022,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook mengenai seorang pengguna yang mendakwa data peribadinya telah bocor di sebuah laman web, Caghi.com.
Dia mendakwa laman web itu dapat mengakses nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor telefon, rekod pendaftaran dan lesen kenderaan, maklumat sulit perbankan dan informasi perniagaan milikan sendiri.
Lebih mengejutkan, segala maklumat sensitif termasuk nombor pengesahan kad tiga digit yang dicetak pada bahagian belakang kad debit atau kredit juga terdedah dan boleh diakses orang ramai. – KOSMO! ONLINE