fbpx
Gambar hiasan.

Malaysia kecam serangan Israel terhadap Doha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara dilakukan oleh tentera Israel ke atas Doha, ibu negara Qatar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan pencerobohan yang tidak berperikemanusiaan ini merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa.

“Ia secara semberono membahayakan nyawa orang awam, menyerang sebuah ibu kota yang berdaulat serta mengancam kestabilan di rantau yang sedia rapuh.

“Dengan menyasarkan Qatar iaitu sebuah negara yang berperanan penting dalam usaha pengantaraan dan dialog di Asia Barat dan Israel telah menunjukkan sikap tidak menghormati keamanan dan diplomasi.

“Serangan sebegini tidak dapat dipertahankan dan sama sekali tidak boleh diterima,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Qatar dan menyeru masyarakat antarabangsa bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas tindakan agresif yang keterlaluan ini.

Media antarabangsa melaporkan, tentera Israel melakukan serangan menyasarkan pemimpin-pemimpin kanan Hamas di Qatar, manakala Doha mengutuk serangan ke atas bangunan yang menempatkan pegawai pejuang Palestin di ibu negaranya itu.

Qatar dipetik berkata, serangan Israel menyasarkan rumah beberapa anggota biro politik Hamas yang menetap di negara Teluk itu, yang mana pimpinan kanan kumpulan pejuang tersebut berpusat.

Menurut seorang sumber pegawai kanan Israel, antara yang menjadi sasaran ialah ketua perunding Hamas, Khalil Al-Hayya, lapor saluran berita CNN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI