fbpx
Rayme (dua dari kanan) pada majlis pelancaran a Majlis Pelancaran Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 di Kuala Lumpur semalam.

Lebih 200 usahawan sertai Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lebih 200 usahawan daripada pelbagai segmen gaya hidup, hiburan dan makanan bakal menawarkan produk masing-masing bersempena Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 yang bakal berlangsung selama lima hari bermula 12  September ini di Parkir Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Penganjur dan Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, bersandarkan pelbagai tawaran perniagaan, program dan aktiviti yang dijalankan sepanjang hari berkenaan, dianggarkan lebih 100,000 orang bakal berkunjung ke karnival berkenaan.

“Setiap lot niaga disasarkan menjana jualan antara RM5,000 hingga
RM10,000. Sambutan amat menggalakkan dengan lebih separuh daripada
jumlah keseluruhan lot telah ditempah dan kami yakin semua slot akan
habis sebelum karnival bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran AnjungMalaysiaku Foodies Fiesta 2025 di sebuah hotel di sini semalam.

Antara tarikan utama festival ini termasuk Fun Run Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta 2025 pada 16 September yang bakal disertai lebih 1,000 peserta.

Acara ini akan menjadi lebih istimewa dengan kemunculan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut hadir meraikansambutan Hari Malaysia dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Selain itu, festival ini juga bakal diserikan dengan Konsert Ambang Hari
Malaysia yang menampilkan barisan artis popular seperti Aina Abdul, Khai
Bahar, Hazama, Amylea Adnan, ALPHA Big Stage serta juara Raising The Star,
Didie Shazry.

Pelbagai aktiviti lain turut dijadualkan termasuk ceramah motivasi, rakaman podcast, persembahan budaya dan program interaktif untuk semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, Rayme merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik dan penaja yang menjayakan karnival ini. Antaranya termasuk Anytime Fitness Hampshire sebagai rakan kerjasama untuk aktiviti Zumba dan Fun Run, Funnel Evo melalui program Buat Saja Podcast Usahawan, serta SimplySiti yang memeriahkan aktiviti zumba dan segmen-segmen yang lain.

“Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan untuk festival-festival akan datang demi memperkukuh ekosistem usahawan, hiburan dan komuniti,” jelasnya.

Tambah beliau, karnival ini bukan sekadar festival makanan dan hiburan semata-mata, sebaliknya ia menjadi platform memperkasa usahawan tempatan serta mempromosikan keunikan budaya Malaysia.

“Kami mahu menjadikan festival ini sebagai ruang komuniti untuk merapatkan hubungan antara peniaga, pengunjung dan masyarakat umum, selari dengan semangat sambutan Hari Malaysia,” jelas beliau.

Bagi kemudahan pengunjung, akses mudah melalui LRT Stesen Bukit Jalil disediakan selain kawasan parkir yang luas di sekitar lokasi bagi menampung jumlah kehadiran yang dijangka luar biasa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN