SEREMBAN – Mahkamah Majistret Seremban hari ini menetapkan 19 November depan sebagai tarikh baharu sebutan untuk status representasi pemandu kereta Honda Jazz yang menyebabkan kematian tiga remaja di Senawang, Mac lalu.
Timbalan Pendakwaraya, P. Rubini memaklumkan perkara itu kepada peguam, Johan Radzi, selepas Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah tidak bersidang hari ini.
Dengan penetapan tersebut, status representasi pemandu terbabit kini telah ditangguhkan sebanyak empat kali termasuk tarikh baharu diterima hari ini.
“Hakim yang sepatutnya bersidang tidak dapat hadir kerana mengambil cuti pantang,” katanya ketika ditemui.
Prosiding tersebut berlangsung secara tertutup berikutan tertuduh yang berusia 17 tahun merupakan di bawah umur.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu Honda Jazz telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Bagi kertas pertuduhan kedua, remaja lelaki itu didakwa tidak memiliki lesen memandu di lokasi dan masa sama. – KOSMO! ONLINE