PARIS – Kepala babi ditemukan di luar sekurang-kurangnya sembilan buah masjid di dalam dan sekitar Paris semalam, dengan nama Presiden Perancis, Emmanuel Macron diconteng pada lima daripadanya.
Pihak berkuasa tidak menyatakan dalang di sebalik kejadian itu tetapi berikrar untuk menyokong penduduk beragama Islam Perancis pada waktu sentimen anti-Islam semakin meningkat.
Perancis mempunyai populasi Muslim terbesar di Eropah iaitu lebih enam juta orang.
“Saya mahu rakyat beragama Islam kita dapat mengamalkan ajaran agama mereka dengan aman,” kata Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau kepada wartawan.
Ketua Polis Paris, Laurent Nunez berkata, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat campur tangan asing untuk menggugat Perancis ketika negara itu berdepan krisis fiskal dan politik.
“Kita tidak boleh mengelak daripada membuat perbandingan dengan tindakan sebelum ini, yang sering berlaku pada waktu malam dan terbukti sebagai perbuatan campur tangan asing,” katanya.
Beliau tidak memberikan butiran lanjut, tetapi Perancis sebelum ini menuduh Russia cuba menimbulkan perpecahan.
Unit polis Paris sedang menyiasat insiden itu atas dakwaan menghasut kebencian, kata pejabat pendakwa raya. – AGENSI