BELGRADE – Pengendali England, Thomas Tuchel memuji prestasi lima bintang yang dipamerkan oleh pasukan untuk melakar kemenangan 5-0 ke atas Serbia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Red Star itu, skuad Three Lions mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri selepas meraih gol hasil penyudah Harry Kane, Noni Madueke, Marc Guehi, Ezri Konsa dan Marcus Rashford.
Menurut Tuchel, apa yang dipamerkan oleh barisan pemain membuktikan mereka bersedia untuk beraksi di pentas tertinggi sekali gus meraih slot automatik ke kejohanan berprestij yang akan berlangsung di Amerika Utara, tahun depan.
“Saya rasa pasukan kita tiada dicabar pada aksi kali ini. Mereka telah bekerja keras dalam satu pasukan dan saling membantu antara satu sama lain.
“Serbia adalah pasukan yang kuat tetapi mereka langsung tidak melakukan percubaan ke gawang kami dan ini membuktikan pemain saya berada pada tahap terbaik dan begitu disiplin sepanjang perlawanan,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah England, Declan Rice menganggap pemain England ketika ini memiliki kualiti seimbang tidak kira tonggak yang diletakkan dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan.
“Anda boleh nilaikan kualiti yang ada dalam pasukan sangat luar biasa. Semua pemain mampu mengubah perlawanan pada bila-bila masa dan mentaliti inilah yang ditekankan oleh jurulatih sekarang,” katanya. – AGENSI