KULIM – Tindakan berani seorang ibu tunggal berusia 45 tahun ‘melepak’ bersama kekasihnya di sebuah pondok kecil di Felda Gunung Bongsu di sini, awal pagi tadi memakan diri apabila mereka dicekup pegawai penguat kuasa agama.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.20 pagi itu, wanita terbabit yang mempunyai dua anak didapati hanya berselimut tanpa berpakaian, manakala pasangannya berusia 30 tahun pula hanya berseluar panjang.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan mencurigakan pasangan tersebut.
“Kedua-dua mereka mengaku bukan suami isteri sebelum dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kulim untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan bekerja menjual kuih di Sungai Petani, manakala pasangannya merupakan pekerja ladang kelapa sawit di Felda tersebut.
“Difahamkan, pasangan itu mula rapat selepas wanita terbabit bercerai lebih setahun lalu. Hubungan mereka didakwa tidak direstui keluarga termasuk anak perempuannya berusia 21 tahun yang berharap ibunya kembali bersama bekas suami,” ujarnya.
Menurutnya, wanita terbabit memberi alasan pulang ke Felda untuk bertemu anak dan ibu bapanya, namun keluarganya tidak mengetahui dia bermalam di pondok belakang rumah kekasihnya itu. – KOSMO! ONLINE